Khamis, 17 September 2015

CERITA YANG TAK PERNAH SUDAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...



Dua tiga hari lepas hati benar-benar tersentak apabila terbaca status rakan fb yang berbunyi......"BETUL, DAN SOKONG SANGAT...SANGAT TERKEJUT BILA TERJEBAK DALAM SUASANA ORANG SUKA BERTANDING NI......DAN....APATAHLAGI BILA DIA SURI DAN  SAYA BEKERJAYA...ADUHAI......UKUR BAJU DIBADAN SENDIRI...."

Status ini adalah rentetan dari cerita yang dikongsi di newsfeednya. Perkara yang dikongsi memang bagus untuk dibaca tetapi tajuk status yang seakan-akan wujud perbezaan antara suri rumah dan wanita bekerja amat tidak sedap didengar...... Kenapa mesti ada ungkapan APATAHLAGI BILA DIA SURI DAN SAYA BEKERJAYA.....

Kenapa perlu ada perbezaan antara wanita surirumah dengan wanita yang bekerja. Pada Ct, kita sama sahaja...tugas  terhadap suami dan keluarga lebih penting dari "kerjaya" yang kita miliki. Ya memang betul dengan "kerjaya" yang kita ada kita dapat membantu suami dan lebih sedap didengar kita ada duit poket kita sendiri. Ya..memang betul juga wanita yang ada "kerjaya" lebih up to date dengan fesyen semasa, lebih ramai kawan, dengan erti kata lain lebih pandai bersosial. Mungkin kelihatan bosan menjadi surirumah kerana terperap di rumah. Tapi pada ct itu semua tak penting, apa yang penting adalah kita tau jaga aurat kita, dan lebih penting lagi, sejuk pada pandangan mata suami. tentang bosan di rumah pula, kebiasaannya surirumah akan keluar setiap hari dua tiga kali untuk hantar dan ambil anak sekolah. Hujung mingg pula kami sekeluarga memang akan keluar ambil angin walaupun bukan pergi ke tempat-tempat yang mahal, cukup sekadar beriadah bersama keluarga. Jadi tidak timbuul istilah bosan disini.

Ct selalu terfikir bagaimana agaknya wanita yang ada "kerjaya" menguruskan urusan seharian (bagi mereka yang tiada pembantu rumah). Dari sini sebenarnya Ct kagum dengan wanita yang ada "kerjaya". Iyalah balik kerja nak kena uruskan hal rumah pulak, membasuh, memasak (bagi yang tidak membeli lauk di luar), menguruskan hal sekolah anak, mengajar anak membuat kerja sekolah...dan seterusnya. Balik kerja tentulah penat. Berbanding kami surirumah....kami boleh buat semua tu tanpa ada gangguan. Rutin kami memang sama..bangun pagi, sediakan sarapan anak dan suami, kejut anak ke sekolah....Kemudian memasak, tiba masa ambil anak balik sekolah, hidangkan makan tengahari ank dan suami, kemudian siapkan anak untuk ke sekolah agama, hantar anak.....dan sebagainya. Kami juga melakukan perkara di rumah (Ct taknak guna istilah "kerja" kerana ia sebenarnya satu  tanggungjawab). Apa yang paling penting disini kami juga punya perasaan, tersentak juga hati ini apabila terbaca status yang membandingkan antara surirumah dan wanita yang bekerja. Pada hakikatnya wanita yang ada "kerjaya" juga surirumah. Tetapi surirumah separuh masa. 

Cukuplah sampai disini coretan kali ini. Kepada mereka (segelintir) yang masih ada perasan pandang rendah pada surirumah ni....Ct tak boleh ubah tanggapan anda....tetapi simpanlah tanggapan tu dalam hati sahaja, ataupun luahkan dengan suami....tak perlu rasanya dihebahkan kepada orang ramai. Kami surirumah juga ada perasaan..Fikir-fikirkanlah. Bagaimanapun kepada wanita yang ada "kerjaya"yang merasakan kita semua sama sahaja...Alhamdulillah terima kasih diucapkan. Kat  bawah ni Ct ada sertakan cerita yang dikaitkan dengan status rakan fb tersebut.......Cerita yang bagus untuk dikongsikan...sebenarnya tak ada kaitan langsung pun dengan surirumah.

Nilai yang nampak kecil di mata orang dewasa tetapi memberi impak besar dalam kehidupan anak kecil
Ketika pulang ke Malaysia, saya membawa anak-anak berjalan-jalan menaiki tandem pushchair yang biasa kami gunakan di London. Seorang budak lelaki lingkungan usia 5-6 tahun berkata kepada ayahnya. "Papa tengok tu stroller dia 2 tingkat". Bapanya hanya mengerling sekilas. Anak kecil itu kemudian menyambung bertanya, "Mana lagi mahal papa, kita punya ke dia punya?". Si bapa menjawab "Kita punya lagi mahal". Anaknya menambah "Kan, dia punya tu local je tu". Saya hanya mampu menggeleng.
Semasa saya kecil, pernah ada saudara yang lagi muda daripada saya bertanya begini, sewaktu hari raya, " Gelang yang Kak Farah pakai ni emas gred A ke zhullian. Ibu saya kata kalau zhullian tak bagus". Waktu itu saya darjah dua. Soalan seperti itu bukan dalam tahap jangkauan pemikiran saya lagi tapi boleh tercapai akalmu oleh saudara saya yang lebih muda. Sadis bukan?
Pada hari raya lalu, seorang budak bertanya kepada Aqeef, "Wah awak duduk London, pernah naik Lamborghini tak. Kalau naik Ferrari pun ok tapi Ferrari murah sikit. Audi yang paling murah tapi Audi lagi bagus daripada proton. Ayah saya bawak kereta begini". Aqeef terdiam dan terus melarikan diri. Pertama kerana Aqeef waktu itu tidak fasih dan kurang faham bahasa Melayu. Kedua kerana kami memang tidak pernah mengajar anak-anak tentang jenama, baik kereta, baju, tempat makan dan sebagainya. Aqeef tidak pernah merasa teruja melihat kereta mewah yang menjalar atas jalan raya di London kerana dia tidak pernah tahu berapa harga kereta berjenis begini begitu, mana lebih laju mana lebih mewah dan sebagainya.
Persoalan saya, nilai apa yang mahu kita semat dalam diri anak-anak kita? Wajarkah anak-anak yang masih hijau usianya dibiarkan membanding-bandingkan harta benda harga dan jenama serta paras rupa fizikal. Perkara membanding-bandingkan ini tidaklah nampak besar di mata kita orang dewasa sepertimana nilai-nilai utama lainnya - hormati orang tua, jangan membazir, jangan bunuh orang, tapi bagi anak kecil, nilai sebegini memberi impak besar dalam hidup mereka kelak.
Mungkin hari ini mereka menilik stroller siapa lebih mahal, pengalaman menaiki supercar mewah mengikut harga pasaran dan gelang emas tulen atau saduran seperti yang dipakai oleh ibunya, di kemudian hari mereka akan mula membincangkan ibu siapa berkerjaya, pangkat bapa siapa paling besar, kereta keluarga siapa paling mahal, dan lebih teruk mereka mungkin akan mula memperkatakan tentang ketidakupayaan rakan lain, mulai belajar menyisihkan rakan yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan, hanya mahu berkawan dengan orang yang mempunyai standard tertentu, anak-anak orang berkerjaya sekian-sekian, atau pelajar cemerlang yang dapat markah 100% semua subjek. Mereka akan membesar dengan memiliki hati yang tidak perlu kepada rasa empati dan kemanusiaan.
Kita boleh tengok masalah seperti ini dalam sinetron Indonesia misalnya yang anak-anak sekolah rendahnya sudah pandai mengejek rakan satu kelas yang tempang kaki atau compang camping pakaiannya, anak-anak sekolah menengah atasnya baru berusia belasan tahun sudah bergaya dengan kereta mewah ke sekolah, memulaukan anak penjual bakso. Ataupun dalam cerita Hollywood bila gadis berbadan cantik dari kumpulan sorak bersama dengan pelajar lelaki sasa pemain football bersatu hati membuli gadis gemuk dan jejaka autistic sehingga mengakibatkan tekanan dalam diri mangsa buli dan menimbulkan keinginan bunuh diri atau melakukan pembunuhan beramai-ramai (massacre) kerana rasa tidak puas hati dibuli dan dipulau.
Apabila anak yang semasa kecilnya tidak dibendung atau memang dengan sengaja diajar membanding-bandingkan harta, harga dan jenama, rupa paras, taraf hidup ini meningkat dewasa, masalah membanding-banding akan berlarutan menjadi masalah lain pula. Mereka akan mula membandingkan diri dengan orang lain, melahirkan rasa tidak berkecukupan dan payah untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki serta sanggup berbuat sesuatu melebihi kemampuan diri seperti berhutang keliling pinggang, rasuah, pecah amanah untuk membeli barangan mewah, atau menjalani pembedahan plastik tahap ekstrem untuk kelihatan cantik demi memastikan dia juga mampu melakukan atau memiliki apa yang orang lain ada. Ia dipanggil persaingan tidak sihat.
Anak-anak kecil kita, terlalu muda untuk dibebankan dengan agenda membandingkan perkara-perkara yang tidak perlu, untuk hidup dibelenggu jenama dan harga serta keinginan untuk tampil cantik bergaya secara keterlaluan dan melulu buta. Jangan biarkan kebiasaan dari kecil merosakkan persepsi dan pegangan hidup mereka apabila dewasa.