Jumaat, 13 September 2013

Buku: SENTUHAN IBU BAPA - Anakku bijak belajar

Salam untuk semua....


Kali ini Ct ingin berkongsi tips mendidik anak dari buku hasil tulisan Dr. Mohd Shukri Abdullah Ph.D (pakar motivasi dan strategi belajar). Didalam buku ini ada memetik:

Zig Ziglar dalam bukunya 'Raising Positive Kids in a Negative World' mengisahkan satu cerita menarik mengenai kesibukan seorang ayah.

Seorang anak muda akan dikenakan hukuman penjara. Tuan Hakim mengenali anak muda itu sejak kecil lagi kerana mengenali bapa kepada anak muda itu iaitu seorang peguam terkenal yang rajin menulis buku. Tun Hakim bertanya kepada anak muda itu, "Adakah kamu masih ingat lagi dengan bapa kamu?" "Ya Yang Arif, masih segar lagi dalam ingatan saya," jawabnya.

Kemudian, dalam usahanya untuk mengusik hati kecil anak muda itu agar dia rasa lebih bersalah memandangkan bapanya adalah seorang ternama, beliau menyambung soalannya, "Disaat kamu akan dijatuhkan hukuman dan apabila dikenangkan kembali bapa kamu, seorang yang ternama dan terhormat, apa perkara yang benar-benar terlekat diingatanmu?" Anak muda tadi termenung sejenak lalu memberi jawapan yang tidak disangka-sangka oleh Tuan Hakim. 

Jawabnya " Saya ingat ketika saya pergi kepadanya untuk mendapatkan nasihat, dia memandang kepada saya dan berkata, "Tidak nampak ke ayah sedang sibuk menulis ni? Pergilah ayah sibuk!"

Apabila saya cuba menghampirinya dan mengambil sedikit masa untuk berbual-bual dengannya, dia terus berkata "Tak faham ke ayah belum habis menulis buku lagi". Yang Arif....Yang Arif mengenalinya sebagai seorang peguam terbilang. Saya pula mengenalinya sebagai seorang kawan yang telah saya hilang". Tuan Hakim itu kemudian berkata-kata dalam hatinya, "Akhirnya beliau siap menulis buku, tetapi malangnya, beliau hilang seorang anak".   - Zig Ziglar-

Dari cerita pendek ini jelas mengandungi isi tersirat....betapa peranan ibu bapa itu amat penting dalam menentukan masa depan anak-anak. Keprihatinan kita sebagai ibu bapa terhadap kemahuan anak-anak adalah yang terpenting dari segala urusan. 

Bagaimanapun masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan.  
 " Dalam mengenang kembali peluang yang terlepas bersama anak-anak itu jangan berkata, " Kalaulah dulu aku...(if only)" tetapi katakanlah "Baiklah lain kali...(next time)"  -Zig Ziglar-

Sebagai contoh: "Kalaulah aku  tahu bahawa mendengar keluhan anak itu penting sangat, sudah tentulah aku dahulu sepatutnya lebih prihatin...." Kini tukarkan kepada "O.K...lain kali bila-bila masa pun jika anak-anakku merungut, mengeluh atau sebagainya, aku akan mendengar betul-betul dan memberikan masa kpadanya".

Bersesuaian dengan Hadis Rasulullah SAW:
"Gunakanlah lima sebelum tibanya lima, iaitu gunakan masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum miskinmu, lapangmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu"