Isnin, 13 Januari 2014

ANAK PERLUKAN PUJIAN......MAJALAH : SUBUR KEBAIKAN DENGAN PUJIAN

Salam untuk semua...

Kali ini Ct nak kongsikan 8 tip untuk memberikan pujian kepada anak-anak. Tips ini Ct perolehi dari majalah Anis dan ditulis oleh Perunding Motivasi Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

1. Disegerakan
Apabila anak membuat kebaikan terus berikan pujian pada masa itu juga dan jangan lupa diselitkan unsur-unsur islamik. Contoh ayat "Ibu syukur sangat Allah kurnikan pada ibu seorang nak yang membantu ibu mengemas rumah". Setelah selesai "Terima kasih kakak, semoga Allah berikan rahmatNya kepada kakak".

2. Ikhlas dari hati
Anak-anak dapat merasai keikhlasan kita memberi pujian dari deria keenam mereka. Pujian ikhlas dapat dipupuk dengan cara memandang tepat kewajahnya, berilah sentuhan seperti mengusap kepala, menyentuh bahu, menepuk belakangnya atau apa sahaja yang bersesuaian.

3. Spesifik dan jelas
Tidak perlu berkias dalam memuji anak. Mereka masih belum faham bahasa kiasan. Contoh ayat ketika memuji prestasi belajar anak-anak:
"Alhamdulillah, bagusnya, Aiman ada peningkatan sekarang" (salah)
"Alhamdulillah, bagusnya, markah keseluruhan Aiman meningkat. Mak suka sebab markah matematik yang dulunya 50 peratus kini dapat 83 peratus. Bagus, teruskan" (betul)

4. Puji depan orang lain
Semua orang suka dipuji, begitu juga dengan anak-anak. Cuba puji kebaikan yang mereka lakukan di depan adik beradik yang lain, datuk, nenek, kawan-kawan dan sebagainya. Ini akan memberi suntikan moral untuk anak-anak terus berbuat baik dan meletakkan standard baru tentang tingkah laku mereka.

5. Realistik dan tidak berlebihan
Puji dengan berpada-pada dan tidak ditokok tambah kerana pujian yang melampau hanya akan merosakkan anak-anak.

6. Guna orang ketiga
Maksudnya ibu atau bapa memberitahu kepada anak bahawa ada orang yang memujinya. Contoh ayat "Kakak semalam abah puji kakak . Abah kata dia suka dengan cara kakak berpakain, sopan. Alhamdulillah kurang dosa abah di depan Allah". Dengan cara ini, anak akan seronok dan akan kekalkan cara dia berpakaian itu.

7. Puji perbuatannya bukan orangnya
Apabila memuji, kita bukan memuji orangnya sebaliknya kita memuji pencapaiannya, sikap, tingkah laku, tutur bicara dan perbuatannya. Jika kita memuji orangnya, kita memberinya racun bukan menyuburkan kebaikan. Kata-kata seperti adik pandai, adik cantik dan adik baik terlalu umum dan lebih kepada memuji orangnya. Cuba fikirkan kalau pandai, apa perbuatannya yang membuatkannya pandai? Mungkin kerana rajin baca buku, rajin pergi sekolah. Kalau cantik apa perbuatannya yang membuatkannya catik? Mungkin sebab dia rajin sikat rambut, rajin jaga kebersihan diri. Kalau baik apa perbuata yang telah dilakukannya? Mungkin rajin menolong ibu, rajin membantu adik.

8. Tidak disulam dengan kata-kata negatif
Jangan sesekali ayat memuji diikuti dengan sikap negatif sebelumnya. Contoh ayat " Baguslah kakak rajin menolong ibu sekarang, kenapalah dulu kakak tak macam ni" 
Wah! rajin sungguh kakak belajar setelah pulang dari kem motivasi, jangan seminggu dua sahaja sudahlah ya".

Kesimpulannya ibu bapa perlu kreatif dalam memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. Sifat-sifat positif harus menjadi kebiasaan dalam menjalani kehidupan seharian dan seharusnya meninggalkan terus sifat-sifat negatif yang hanya akan merosakkan minda seterusnya menjurus ke arah kerosakan akhlak anak-anak dewasa kelak.